Ahad, Januari 31, 2010

Lapuran Perlawanan Liga Super 2010

Feb 9 2010

Pahang Gah Di Kuantan
Feb 9 2010 - Pahang mengekalkan rekod penuh 4 kemenangan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada aksi Liga Super apabila mengejutkan juara Piala Malaysia 2009 Negeri Sembilan dengan 2-1.

Pahang membuka jaringan melalui rembatan Abdul Rahman Abdul Kadir (m-37') dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Mohd Saiful Nizam Miswan untuk menewaskan penjaga gol Mohd Farizal Harun.

Negeri Sembilan menyamakan kedudukan pada minit ke-65 oleh K. Thanaraj. Sebelum Pahang memungut 3 mata penuh hasil gerakan Mohd Fazli Baharuddin pada akhir babak perlawanan minit ke-89.

Johor FC menempatkan diri mereka ditempat keempat liga apabila menewaskan KL Plus 1-0 di Stadium JCorp, Pasir Gudang melalui Mohd Nurul Azwan Roya yang menggelecek dua perlawanan lawan dalam kawasan penalti sebelum merembat leret menewaskan penjaga gol Mohd Faizal pada minit ke-67.

Johor FC bermain dengan 10 pemain apabila Mohd Khairul Ismail menerima kad merah pada minit ke-49.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Johor Bahru, Johor terus berada di tempat terakhir liga apabila sekali lagi menjadi pasukan belasahan kali ini kepada T-Team dengan keputusan 0-3.

Mohd Harris Safwan yang tidak dikawal melakukan rembatan selepas menerima lontaran jauh dari Mohd Shahrul Ezain pada minit ke-29. Diikuti jaringan Mohd Norisyam Hassan (m- 75') dan Abdul Hadi Yahya (m-85').
Jan 30 2010

Terengganu himpit Selangor
Jan 30 2010 - Terengganu semakin menghimpit kedudukan Selangor selaku pendahului Liga Super apabila dipisahkan hanya dengan dua mata. Kemenangan dicatat di Stadium Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu 2-0 keatas Kuala Lumpur walaupun kehilangan seorang pemain.

Zairo Anuar Zalani membuat sepakan percuma di luar kotak penalti untuk bola melencong masuk pada minit ke-2 dan tandukan Ashaari Shamsuddin minit 90. Mohd Muhaimin Omar dilayangkan kad merah akibat terjahan keras keatas pemain Kuala Lumpur Yong Kuang Yong pada minit ke-54.

Selangor dipaksa seri 1-1 menentang Perlis di Stadium Utama, Kangar dengan Perlis mendahului hasil tandukan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-10 hasil umpanan Azrul Ahmad dan Amar Rohidan. Sepakan percuma 25 meter Shafiq Rahim pada minit ke-39 membolehkan Selangor membawa 1 mata pulang.

Kedah mencatat kemenangan pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar musim ini dengan membenam T-Team 3-1. Mohd Faizal Abu Bakar meletakkan Kedah di hadapan pada minit ke-16 sementara Azlan Ismail terus mencatat nama sebagai penyerang berbisa Kedah apabila menyumbat gol pada minit-25 dan 58. T-Team memperolehi gol hasil Mohd Norhisyam Hussein pada minit ke-81 akibat dari pergelutan di pintu gol.

Di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu Kelantan ketinggalan dengan Pulau Pinang akibat jaringan V. Jaganathan pada minit ke-13, namun bangkit dengan gol hatrik Norsharul Idlan Talaha minit ke-46,50 dan sepakan penalti minit 88 untuk keputusan penuh 3-1.

Perak dihukum akibat persembahan buruk mereka apabila di benam 0-3 oleh Johor FC di Stadium Perak, Ipoh hasil jaringan Khairul Ismail (41), Zulhisyam Jamaluddin (60) dan Shahrizan Salleh (88).

Pahang mampu memungut mata penuh di Stadium Darul Makmur, Kuantan apabila menewaskan KL Plus 2-1 menerusi Azamuddin Akil (37) dan Shahrizan Salleh (90). KL Plus membalas menerusi Mohd Lot Hassan (86).

Jan 19 2010 (Selasa - LS 4)
Selangor Menjarakkan 4 Mata
Januari 19 2010 - Selangor membaham Pahang 4-0 di Stadium Shah Alam untuk terus kekal di takhta liga dengan berkelebihan 4 mata apabila lawan terdekat Terengganu diikat 1-1 oleh pasukan "adiknya" T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Minit 34 - Safee Sali menolak bola muntah penjaga gol Pahang, Wan Azraie Wan Teh hasil rembatan D. Surendren kencang dari sebelah kanan.
Minit 55 - Rembatan Safiq Rahim terkena penjaga gol dan bergolek masuk untuk gol kedua Selangor selepas menerima umpanan dari Amri Yahyah.
Minit 66 - Razman Roslan gagal menyempurnakan sepakan penalti akibat kekasaran yang dilakukan pada Surendren, namun Wan Azraie bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan tersebut.
Minit 76 dan 83 - Pemain gantian R. Surendren mennyumbat dua gol.






Perlawanan malam ini terdapat banyak keputusan mengejutkan dengan Kelantan dan Johor FC tewas dilaman sendiri ketika masing-masing bertemu Kedah dan Kuala Lumpur dengan keputusan 0-1.

Gol Kedah berpunca dari kesilapan penjaga gol Kelantan Syed Adney Syed Hussein pada minit ke-41 yang menyepak bola mengenai kaki Azlan di dalam petak penalti.

Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur pula mencatat kemenangan pertama masing-masing dengan Negeri bangkit setelah ketinggalan untuk mengalahkan KL Plus FC 2-1 di Paroi.

Johor pula mendapat mata pertama mereka apabila mengikat Pulau Pinang 1-1 di Stadium Negeri Batu Kawan.

Perak tewas buat kali ketiga ketika berdepan dengan Perlis 0-1 di Ipoh.

Jan 16 2010 (Sabtu - LS 3)
Terengganu menang besar
Selangor mengukuh kedudukan di tempat teratas Liga Super apabila berjaya menjadi pasukan tunggal memegang rekod tanpa kalah sehingga perlawanan ketiga berturut-turut.

Kemenangan Selangor 1-0 ke atas KL Plus di Stadium MBPJ, Kelana Jaya sudah cukup buat gergasi merah meraih mata kesembilan dan menjarakkan dua mata dari pencabar terdekat Terengganu.

Hasil sepakan sudut pada minit ke-67 Hardi Jaafar meledakkan rembatan deras kaki kanan dari luar kotak penalti lalu mengenai seorang pemain KL Plus sebelum menerjah gawang.

Terengganu mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Terengganu membuka jaringan pada minit ke-57 menerusi Md Firdaus Md Faudzi yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Pulau Pinang, Amir Omar Khata yang cuba menghalang Joseph Kalang Tie, namun bola akhirnya singgah ke kaki Md Firdaus yang bijak melakukan penyudah.

Ashaari Shamsuddin (minit ke-61) berjaya menewaskan pemain lawan yang mengawalnya sebelum menolak bola masuk mengatasi penjaga gol Amir Omar,

Joseph Kallang Tie (minit ke-82)pula menewaskan Amir Omar hasil satu lawan satu dan Abdul Manaf Mamat (minit ke-92) melengkapkan malam bergaya buat Terengganu.

Johor FC di tempat ketiga dengan Mohammad Khairul muncul wira mereka apabila hasil sepakan dari luar kotak penalti pada waktu kecederaan berjaya menewaskan Kedah 1-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Razali Umar Kandasamy sekali lagi menjadi pemain berharga buat Perak apabila membantu Perak mengutip tiga mata berharga ketika membenam Johor 2-0.

Gol pertama pelawat hadir pada minit ke-89 berpunca dari sepakan percuma Md Nazri Md Kamal yang terkena tiang gol lalu disambar Md Syazwan Md Roslan manakala Razali yang kembali selepas penggantungan berjaya mengelirukan penjaga gol, Mohd Faizal Yusof menerusi tandukan pada masa kecederaan untuk gol pertamanya musim ini.

Di Stadium Utama, Kangar, Kelantan turut meneruskan rekod tanpa kalah musim ini apabila seri 0-0 dengan Perlis.

Percubaan terbaik Perlis hadir menerusi sepakan percuma kapten, Fauzie Nan tetapi diselamatkan penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein pada minit terakhir babak pertama.

Di Stadium Darulmakmur, Pahang meraih kemenangan keduanya apabila bangkit menewaskan T-Team 2-1 dengan dua jaringan lewat. T-Team mendahului pada minit ke-19 menerusi tandukan Hazrul Hazran Amiludin Baki apabila mendapat umpanan lambung Abdul Hadi Yahya tetapi Pahang mencuri tiga mata dengan dua gol Shahrizan Md Salleh gol penalti pada minit ke-85 dan minit 92.

Di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur, Cheras barisan muda Kuala Lumpur berjaya mengikat Juara Piala Malaysia 2009 Negeri Sembilan 0-0, buat memaksa Negeri Sembilan terperosok di tempat keduabelas dengan dua seri dan satu kekalahan bagi memungut dua mata dari tiga perlawanan.
Januari 12/13 2010 (Sabtu/Ahad - LS 2)
Selangor 4-1 KL
Jan 12 2010 - Selangor mencatat kemenangan dalam perlawanan "derby" Lembah Kelang apabila kali ini membenam jiran tetangga Kuala Lumpur 4-1 di Stadium Shah Alam.

Liew Kit Kong gagal dalam minit pertama apabila bola melambung walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol Kuala Lumpur Ramezey Che Ros.

Kuala Lumpur membuka jaringan melalui Yong Kuong Yong pada minit keenam yang tidak dikawal dan mudah menanduk masuk sepakan percuma Azwan Abd Malek dari sebelah kanan.

Selangor hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-16 tetapi penjaga gol Kuala Lumpur, Remezey Che Ros cemerlang menafikan dua percubaan Safee Sali dan Amri Yahyah disusuli lambungan Hardi Jaafar yang terkena palang.

Selangor melancarkan serangan bertali arus dan gol penyamaan muncul pada minit ke-34 melalui tandukan Mohd Safee Sali hasil lambungan Safiq Rahim dari sebelah kiri untuk kedudukan 1-1.

Lima minit sebelum separuh masa pertama berakhir, sepakan percuma dari jarak 25 meter yang diambil kapten Kuala Lumpur, Azidan Sarudin sekadar menggegar palang.

Dibabak kedua Farderin Kadir serta Liew Kit Kong di keluarkan dan di ganti nya R. Surendren dan Amirulhadi Zainal.

Minit ke-59 ketua pasukan Amri Yahyah yang bijak memperdayakan Remezey yang meluru dengan sepakan lambungnya setelah dia menerima hantaran belakang menarik daripada Safee Sali. Selangor 2-1 Kuala Lumpur.

Penyerang gantian, R. Surendren merembat masuk gol ketiga Selangor pada minit ke-78 setelah dia bijak melepasi kawalan pertahanan lawan.

Minit ke-88 Surendren sekali lagi membuktikan dirinya supersub terbaik apabila melakukan kawalan bola yang kemas memperdayakan Remezey sebelum merembat kencang ke gawang terbuka untuk gol keempat Selangor.

Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang memperolehi gol pantas melalui Mohd Failee Ghazli seawal minit kedua sebelum R Surendran menyamakan kedudukan Pahang seminit kemudian (minit ke-3).

Pahang kehilangan pertahanannya, Yosri Derma Raju yang menerima kad merah pada minit ke-54.

Jaringan Mohd Naim Naseer Khan pada minit ke-62 memastikan tuan rumah memungut mata penuh dengan kemenangan 2-1.

Di Stadium Perak, Ipoh, Terengganu menewaskan tuan rumah 3-1 hasil jaringan Mohd Ashaari Shamsuddin (m-15 dan m-76) serta Mohd Firdaus Faudzi (m49) manakala gol tunggal Perak dihasilkan Mohd Saufi Saadi pada minit ke-57.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, T-Team seri 0-0 dengan KL Plus dalam perlawanan yang hanya mempunyai sedikit percubaan.

Kelantan Ditangga Kedua
Jan 13 2010 - Di Stadium Darulaman, Kedah gagal memanfaat peluang beraksi dengan kelebihan seorang pemain ketika menentang Perlis apabila dikejutkan jiran tetangganya itu 1-0 hasil jaringan tunggal Azrul Hamid pada minit ke-17.

Ia berpunca daripada gerak cantik di tengah padang untuk Amar Rohidan melakukan hantaran lintang yang ditanduk kemas Azrul ke sasaran.

Perlis bermain 10 orang selama 70 minit kemudian apabila Badrul Azam Zamri yang menerima dua kad kuning setelah mengasari sayap kanan Sang Kenari, Baddrol Bakhtiar dan menendang bola keluar sesuka hati.

Juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan pula hanya terselamat dengan jaringan penyamaan Norizam Salaman untuk mengikat Johor FC 1-1 dan mencuri satu mata dari Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Wan Rohaimi Wan Ismail meletakkan tuan rumah menghampiri tiga mata dan peluang menyaingi Selangor di teraju liga dengan gol minit ke-75 setelah menanduk sepakan sudut dari sebelah kiri oleh Mohd Khairul Ismail.

Namun Norizam, bekas pemain Johor yang berhijrah ke Negeri Sembilan musim ini, menyumbat rembatan rendah pada minit ke-83 buat menyelamatkan Negeri Sembilan dari kekalahan kedua.

Di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, Kelantan membenam Johor 3-0 sekali gus melonjak ke tangga kedua Liga Super dalam perlawanan yang dikuasai oleh tuanrumah.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli membuka tirai jaringan menerusi rembatan daripada dalam kawasan penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol, Mohd Amrul, pada minit ketiga, diikuti voli Mohd Badri Radzi dari luar kotak (47) .

Indra Putra Mahayuddin (49) memastikan kemenangan Kelantan apabila meluru untuk paling pantas memanfaat bola muntah tampanan Mohd Amrul dan disudahkan dengan tampanan ke sasaran.
Januari 9 2010 (Sabtu - LS 1)
Negeri Sembilan lwn Selangor
Jan 9 2010 - Selangor mencipta dua jaringan pada babak kedua untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan pada perlawanan Piala Sumbangsih. Perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia 2010 yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah yang juga sebagai perlawanan Liga Super.

Negeri Sembilan memberi amaran awal apabila sepakan percuma Mohd Aidil Zafuan Radzak singgah di palang pada percubaan kedua selepas benteng menghalang sepakan pertamanya.

Pada minit ke-7 Safiq Rahim meledakkan rembatan dari sayap kanan di luar kotak penalti dengan bola melepasi pintu gol Negeri.

Negeri Sembilan membuka jaringan pada minit ke-27 hasil dari sepakan bebas Rezal Zambery Yahaya selepas Norizam Salaman dijatuhkan, Idris Karim berjaya menanduk bola ke gawang untuk menewaskan penjaga gol Selangor Hamsani Ahmad bagi memberi kelebihan 1-0.

Negeri Sembilan menguasai bahagian tengah pada babak pertama yang diketuai oleh Rezal Zambery Yahya.

Babak kedua diteruskan dengan aksi rancak kedua-dua pasukan dan seperti dijangkakan Selangor bermula garang dengan tandukan cantik ketua pasukan, Amri Yahyah menuju tiang kiri ketika Farizal tertewas.

Minit ke-46 S. Kunalan yang berdepan satu dengan satu dengan Hamsani menendang terus ke dakapan penjaga gol.

Selangor mula menguasai perlawanan apabila jurulatih K. Devan meletakkan Amri bergandingan dengan Safee di hadapan dengan Liew Kit Kong bertindak sebagai midfil penyerang.

Minit ke-70 Hardi Jaafar dan Farderin Kadir yang kurang berkesan di gantikan dengan R. Surendren dan Amirulhadi Zainal.

Minit ke-77 Safee Sali menolak hantaran rendah D. Surendran yang bijak meloloskan diri di sayap kiri bagi gol penyamaan.

Minit ke-83, Selangor melengkapkan kebangkitan mereka apabila gerakan cantik satu dua R. Surendran-Safee berakhir dengan Surendran menjadi wira apabila menolak masuk hantaran Safee untuk gol kemenangan dan tiga mata penuh.

Gergasi Merah merangkul kejuaraan kelapan Piala Sumbangsih sejak diperkenalkan pertama kali pada 1985.

Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terbaik mereka dengan kehadiran pemain kebangsaan. Kapten Selangor Amri Yahyah yang di laporkan mengalami kecederaan juga disenarai bersama-sama Safiq Rahim, Nasriq Baharom dan Asraruddin Putra Omar

Kad kuning (6) :
Negeri Sembilan : S. Kunalan, Rezal Zambry Yahya dan Shukor Adan.
Selangor : Shafiq Rahim, Hardy Jaafar dan Safee Sali

Penonton : 25,000

Johor lwn Kedah
Azlan Ismail menjadi penjaring hatrik pertama pada minit ke-71, 80 dan 86 bagi Liga Super musim 2010 apabila membantu Kedah menduduki takhta liga dengan kemenangan 3-0 ke atas Johor. Selepas mengasak bertubi-tubi, gol pembukaan yang dicari Kedah hadir pada minit ke-32 menerusi sepakan percuma Azlan yang terkena pertahanan
tuan rumah menyebabkan Mohd Amrol Jaihan terpaku di gawang sendiri disusuli ledakan pada minit ke-81 dan 86.

Terengganu lwn Kelantan
Pasukan pilihan kejuaraan musim ini Kelantan gagal meraih mata penuh apabila diikat 0-0 oleh Terengganu, dengan penjaga gol kebangsaan Sharbinee Allawee Ramli menjadi wira apabila menafikan cubaan Hairuddin Omar dan Indra Putra Mahayuddin apabila berjaya menyelamatkan percubaan bahaya mereka di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dihadapan 20,000 penonton yang memenuhi stadium.

Kuala Lumpur lwn T-Team
Pertemuan pendatang baru Liga Super Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu T-Team berakhir 1-1 di Stadium KLFA, Cheras dengan Raimi Md Nor menjaringkan gol akibat pergelutan di pintu gol pada minit ke-41.

Pada minit ke-70 Khairul Anuar Shafie mensia-siakan peluang apabila hanya berdepan dengan penjaga gol Syamsuri Mustafa tetapi bola meliar keluar apabila dia mencuba merembat di celah kaki penjaga gol.

Kuala Lumpur dihukum akibat kegagalan itu pada minit ke-72 apabila Haris Safwan Kamal menyamakan kedudukan buat T-Team dengan sepakan dari sudut yang menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur Remezey Che Ros berhampiran pintu golnya.

Azwan Malek mensia-sia peluang keemasan untuk menjadi wira Kuala Lumpur di minit 82 apabila cubaan dari jarak enam meter kena palang dengan Syamsuri telah tertewas.

Pahang lwn Perak
Pahang bangkit dari ketinggalan satu gol untuk menewaskan Perak 2-1 di Stadium Darulmakmur, Kuantan selepas Nazri Kamal meletakkan pelawat di hadapan dengan gol penalti di minit 22 selepas Mohd. Fadzirul Zakaria dijatuhkan oleh Mohd Khalis Ibrahim.

Pahang menyamakan kedudukan di minit ke-31 apabila Mohd. Sharizat Mohd. Salleh menyempurnakan sepakan percuma melencung memerangkap penjaga gol Perak Megat Amir Faisal Ibrahim yang belum bersedia sebelum Azammuddin Akil merebut peluang dalam keadaan kelam-kabut pertahanan Perak untuk menjaringkan gol kemenangan di minit ke-49.

Perlis lwn Johor FC
Johor FC, mengejutkan tuanrumah Perlis dengan kemenangan 1-0 di Stadium Utama Negeri, Kangar hasil jaringan Riduwan Ma'on setelah menerima hantaran lintang Mohd Nurul Azwan yang terkena pemain pertahanan Perlis dari luar kotak penalti lalu merembat deras menewaskan penjaga gol Perlis, Mohd Farizal Marlias. di minit 61.

KL Plus lwn Pulau Pinang
Pemain Pulau Pinang menjaringkan gol terpantas untuk musim ini di minit ke-3 ketika menentang KL Plus di Stadium MBPJ, Kelana Jaya melalui rembatan kencang Mohd Faili Ghazali menewaskan penjaga gol, Mohd Faizal Rashid

Separuh masa kedua, menyaksikan KL Plus yang turun tanpa kapten kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah bangkit dengan dua gol pantas awal sebaik permainan dimulakan melalui Fazli Shaari di minit ke-48 dan 57 melalui Mohd Lot Abu Hassan sebelum menambah derita Pulau Pinang sebaik tamat masa sebenar permainan melalui gol Azi Shahril Azmi.

Tiada ulasan: