Isnin, Januari 04, 2010

Persatuan Bolasepak Negeri/Kelab gagal lahirkan pemain berbakat

Usah bazir duit
mymetro.com.my
2010/04/15

KALAU tanpa tiang seri, mampukah sesebuah rumah itu berdiri? Bidalan itu digunakan bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah yang turut menganggap pemilihan Everton sebagai kelab rujukan Jawatankuasa Tabung Pembangunan Bola Sepak sebagai kurang tepat.

Apa yang lebih penting, katanya, ialah gunakan dana RM10 juta itu untuk mewujudkan semula struktur pembangunan di peringkat usia tertentu kerana golongan itulah yang akan mewarnai arena bola sepak pada masa akan datang.

“Suatu masa dulu, bola sepak kita boleh dianggap gemilang kerana mempunyai pertandingan di bawah usia 12, 14, 16, 18 atau 21 tahun. Tapi sejak pertandingan itu lenyap, lihat apa jadi dengan bola sepak kita sekarang.

“Itu semua pembangunan dan kita sudah dan pernah melakukannya. Kita tidak perlukan pandangan Everton, Jepun atau Korea Selatan untuk mewujudkan pembangunan sebegitu. Jadikan saja pembangunan dulu sebagai contoh untuk mewujudkan semula program selaras dengan masa sekarang.


“Kita cuma perlu perbaiki mana-mana dianggap ketinggalan zaman dan selaraskan bola sepak moden. Saya rasa tidak perlulah kita membazirkan duit dengan meminta kerjasama kelab Inggeris atau sebagainya.

“Dulu kita berjaya tanpa bantuan sesiapa atau kelab mana sekalipun. Tapi kita gagal meneruskan semua pertandingan peringkat umur dan itulah yang menyumbang kepada kepincangan bola sepak sekarang. Bukannya kita tidak mempunyai bakat, tapi kita sendiri yang membazirkan bakat sedia ada.

“Kalaupun ada seorang dua pemain bagus, siapakah yang memantau perkembangan mereka itu? Mereka cemerlang di peringkat sekolah, siapa yang hadir untuk memastikan bakat itu tidak dipersia-siakan? Apakah kesinambungan terhadap bakat-bakat itu?” kata Reduan.

Apa diluahkan Reduan itu bukan bermaksud beliau berfikiran ala primitif tetapi bagi bekas pemain yang pernah mewakili negara selama lebih satu dekad, Malaysia pastinya tidak akan ketandusan pemain berbakat andai semua program pembangunan itu tidak dihentikan.

Beliau melahirkan rasa terkilan andai dana RM10 juta yang diperuntukkan kerajaan itu digunakan untuk membuat kajian atau program bersama dengan Everton sedangkan jawapan mengenai kepincangan bola sepak negara sebenarnya ada di depan mata semua pihak.

“Mengapa bola sepak kita semakin merudum? Jawapannya ialah kerana kita tidak mempunyai pembangunan mantap. Bagaimana kita mahu membina rumah kalau kita tidak terlebih dulu menegakkan tiang serinya yang menjadi tonggak kepada rumah berkenaan?” katanya.

Persatuan Bolasepak Negeri/Kelab gagal lahirkan pemain berbakat - Datuk Redzuan Sheikh Ahmad

Januari 4 2010 - Persatuan negeri dan kelab dicabar supaya mencungkil bakat baru yang boleh diketengahkan ke skuad negara berbanding hanya mengambil jalan mudah dengan terus mendapatkan khidmat pemain terkenal yang telah dilatih oleh badan induk bola sepak negara itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, FAM tidak mahu dipandang bersifat 'pilih kasih' kepada pihak tertentu dalam melatih dan mengasuh pemain negara.

Sebaliknya, kata beliau, persatuan negeri memerlukan prinsip saling menyumbang kerana pada akhirnya, skuad kebangsaan akan terus berjaya serta kualiti pemainnya semakin tinggi apabila bersaing di arena antarabangsa.

Tegas Redzuan, selama ini persatuan negeri dan kelab hanya tahu mengambil 'bulat-bulat' pemain kebangsaan didikan FAM, sedangkan banyak peruntukan kewangan tahunan yang telah disalurkan bagi pembangunan bola sepak peringkat negeri tetapi masih gagal menampilkan bakat baru.

"Dahulu kami di FAM penat-penat melatih pemain, ada negeri yang secara mudah mahu balik khidmat mereka."

"Di mana pemain yang betul-betul persatuan negeri cungkil dan lahirkan untuk dipilih mewakili negara?"

"Ini bermakna tidak berlaku proses timbal balik, jadi lama kelamaan, liga kita masih di takuk lama dan skuad kebangsaan terus gagal. "

"Berdasarkan analisa yang kita buat sebelum ini, apabila pemain-pemain kebangsaan kembali ke pasukan negeri atau kelab tahap kecergasan mereka akan jatuh.

"Ada juga pemain didikan FAM yang apabila kembali ke negeri atau kelab asal, merosot tahap kecergasan mereka sehingga cuma sekitar 60 peratus untuk dibawa bermain ke peringkat antarabangsa.

"Walaupun ia (kecergasan) sudah cukup bagus untuk memenangi kejohanan di peringkat domestik namun ia tidak mencukupi untuk perlawanan antarabangsa," katanya.

''Kali ini saya cabar persatuan negeri dan kelab supaya latih dan cungkil pemain yang lebih baik daripada skuad Sukan SEA XXV untuk dipanggil ke skuad negara," katanya.

Beliau menghadiri majlis penghargaan skuad Bawah 23 negara yang menjuarai acara bola sepak Sukan SEA XXV di sini, semalam. Seramai 20 pemain dan lapan pegawai termasuk Rajagobal menerima ganjaran wang tunai yang berjumlah antara RM24,000 hingga RM31,000.

Mengenai anak buah K. Rajagobal yang mengakhiri kemarau emas 20 tahun pada temasya dwi-tahunan, kata Redzuan, faktor utama pencapaian itu ialah hasil perancangan FAM sejak kejohanan peringkat belia di Palembang, Indonesia pada 2004.

Skuad emas itu juga mendapat pendedahan peringkat antarabangsa di China, Slovakia, Brazil, Australia dan Vietnam.

Sementara itu, mengenai cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek supaya mengekalkan skuad juara Sukan SEA itu dan melarang mereka daripada kembali bermain dengan pasukan negeri atau kelab asal masing-masing, Redzuan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal FAM bagaimanapun menganggapnya sebagai sudah terlewat.

"Mengekalkan pemain di bawah naungan FAM sudah pun diterapkan pada dua lagi pasukan, Harimau Muda A (bawah 21 tahun yang dilatih Azraai Khor Abdullah) dan Harimau Muda B (bawah 18 tahun dilatih Ong Kim Swee). ''Pasukan A akan dihantar bermain sebuah liga luar negara (sedang dirunding dengan Singapura, Slovakia dan Turki), manakala B bermain dalam Liga Perdana.

"Kedua-dua pasukan ini berada di bawah pengurusan penuh FAM yang boleh kita pupuk mulai sekarang dengan latihan yang sistematik, pendedahan di peringkat antarabangsa dan sebagainya. Mereka juga akan menjadi pengumpan ke skuad senior kebangsaan dalam beberapa tahun lagi," katanya.

Katanya, beliau menyedari harapan pelbagai pihak semakin tinggi apabila menghadapi misi antarabangsa yang lebih besar selepas ini seperti Sukan Asia (November) dan Piala Suzuki AFF (Disember), serta Kelayakan Olimpik pada 2011, malah untuk mempertahankan emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Sumber dari Bernama dan Berita Harian

1 ulasan:

Saiful berkata...

mmg betul gilap bakat sejak bangku sekolah...pertandingan bawah 12 tahun antara sekolah juga diadakan...tp adakah pemilihan mereka untuk mewakili negeri untuk peringkat kebangsaan telus? Sebagai contoh.. bwh 12 tahun antara sekolah 2010 peringkat negeri kelantan...telah berlangsung dr 12-14 mei 2010...
Juara : Daerah Pasir Mas
Naib Juara : Machang
Semi-Finalist : Tumpat & Jeli
Tetapi pemain yg terpilih utk mewakili kelantan pd peringkat kebangsaan bulan jun nanti 10 drpdnya adalah dr daerah kota bharu..sedangkan daerah kota baru semi final pun tak sampai!!!!
Pemilihan kroni...pemilihan tak telus...pemain dr daerah pasir mas sebagai juara hanya 3 org, penjaring terbanyak kejohanan pun tak dpt (dr pasir mas)???? kota bharu 10 orang, sedangkan semi final pun tak sampai...
apa yg patut aku buat nak perbetulkan nie..... bwh 12 thn pun dah ada kroni dan tak telus...mcm mana bola sepak kita nak maju...