Sabtu, September 05, 2015

Ketua Jurulatih Dollah Salleh Letak Jawatan

Ketua Jurulatih Malaysia sejak Tahun 2000

mulai 5 September Datuk Ong Kim Swee
1 Julai 2014 - 4 September 2015 Dollah Salleh
3 Februari 2014 - 28 Jun 2014 Ong Kim Swee (sementara)
20 April 2009 - 31 Disember 2013 K. Rajagobal
2007 - 2009 B. Sathianathan
2006 - 2007 Norizan Bakar
2004 - 2005 Bertalan Bicksei (Hungary)
2004 - 2004 Allan Harris (England)
1998 - 2000 Abdul Rahman Ibrahim

Dollah Salleh Letak Jawatan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan pelantikan jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, 45, sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan berikutan peletakan jawatan Dollah Salleh, 52, sebagai ketua jurulatih kebangsaan, semalam.

Dollah menyatakan bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan besar 10-0 skuad kebangsaan kepada UAE pada perlawanan tersebut dan membuat keputusan untuk meletak jawatan dengan serta merta.

Bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Dollah, pihak persatuan telah mencapai persetujuan untuk melantik Kim Swee sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan berkuatkuasa serta merta bagi menghadapi perlawanan keempat kelayakan bertemu Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa ini (8 September) dan seterusnya sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan.

Pemilihan Kim Swee dibuat atas dasar beliau seorang jurulatih yang berpengalaman termasuk pernah menjadi pengendali sementara skuad kebangsaan selama empat bulan pada tahun lalu iaitu dari 3 Februari 2014 (selepas kontrak Datuk K Rajagobal sebagai ketua jurulatih kebangsaan tamat) hingga 28 Jun 2014 (selepas Dollah dilantik ketua jurulatih kebangsaan yang baharu).

Selain itu, Kim Swee turut masih mempunyai kontrak bersama FAM sehingga penghujung tahun ini selepas beliau membimbing skuad B-23 negara pada Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun lalu.

Selepas pemilihan itu dibuat semalam, Kim Swee menyatakan komitmen untuk menerima tawaran menjadi pengendali sementara skuad kebangsaan dan membawa bersama penolong jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney serta jurulatih penjaga gol skuad B-23 negara, Yong Wai Hwang untuk menggantikan tempat dua penolong jurulatih kebangsaan, Reduan Abdullah dan Wan Mustaffa Wan Ismail serta jurulatih penjaga gol kebangsaan, Omar Salim.

Sementara itu, pihak persatuan telah memberi tanggungjawab kepada Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (task force), Dato' Abdul Mokhtar Ahmad yang juga Timbalan Presiden FAM untuk memulakan proses pencarian jurulatih asing bagi skuad kebangsaan pada masa akan datang, jika difikirkan sesuai.

PERSATUAN BOLASEPAK MALAYSIA (FAM)
5 SEPTEMBER 2015

Tiada ulasan: