Khamis, Oktober 29, 2020

Liga Malaysia 2020




TM PIALA MALAYSIA 2020 DITERUSKAN TANPA PENYERTAAN SABAH, FORMAT KENAIKAN DAN PENYINGKIRAN CIMB LIGA SUPER KEKAL

29 Oktober 2020 - Malaysian Football League (MFL) mengumumkan bahawa pertandingan TM Piala Malaysia 2020 kekal berlangsung seperti perancangan sebelum ini.

Kejohanan TM Piala Malaysia 2020 yang akan bermula 6, 7 dan 8 November ini akan berjalan seperti yang dijadualkan di mana undian TM Piala Malaysia 2020 akan berlangsung pada 1 November ini.

Format TM Piala Malaysia musim ini terpaksa diubah kepada saingan kalah mati sejak pusingan pertama membabitkan 16 pasukan (11 CIMB Liga Super, 5 Liga Premier) sehingga ke pusingan suku akhir (12 dan 13 November), separuh akhir (17 November) tanpa aksi timbal balik sebelum aksi final pada 22 November.

Psukan UiTM FC telah diberikan kemenangan 3-0 selepas permohonan laluan khas skuad Sabah tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sabah sebelum ini dijadualkan bertemu UiTM FC di Stadium Hang Jebat Melaka untuk aksi terakhir CIMB Liga Super pada 31 Oktober ini.

Sabah tidak akan terlibat dalam saingan TM Piala Malaysia selepas tidak mendapat pelepasan keluar dari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 November.

“Permohonan pengecualian bagi pasukan Sabah tidak diluluskan sehingga menyebabkan perlawanan CIMB Liga Super yang tertunda tidak dapat dimainkan, jadi pasukan UiTM FC diberikan kemenangan 3-0.

“Tempoh kuarantin kendiri wajib selama 14 hari (sekiranya pasukan Sabah tiba di KLIA pada 29 Oktober 2020) telah melangkaui tarikh perlawanan pusingan pertama (kalah mati) TM Piala Malaysia.

“Justeru, pasukan yang bakal diundi bertemu pasukan Sabah di Pusingan Pertama (kalah mati) TM Piala Malaysia 2020 diberikan kemenangan 3-0 dan seterusnya layak ke pusingan Suku Akhir.

“Pasukan Sabah adalah kekal sebagai pasukan Liga Super untuk musim 2021 dan tiada hukuman yang bakal dikenakan terhadap pasukan Sabah kerana isu ini,”

Ahli Lembaga Pengarah MFL telah memutuskan format kenaikan dan penyingkiran CIMB Liga Super kekal seperti biasa.

Tiada penyingkiran buat pasukan berstatus Liga Premier pada musim ini selepas menyaksikan Amateur Football League (AFL) telah mengambil keputusan untuk membatalkan saingan Liga M3 musim 2020 pada 8 Jun 2020.

“Tiada penurunan dari pasukan Liga Premier pada musim ini tetapi format biasa iaitu dua pasukan menduduki menduduki tangga ke-11 dan 12 dari CIMB Liga Super (turun ke Liga Premier) dan dua pasukan teratas Liga Premier (naik ke CIMB Liga Super) kekal seperti biasa,”

PINDAAN TARIKH UNDIAN DAN KEJOHANAN TM PIALA MALAYSIA 2020

13 Oktober 2020: Malaysian Football League (MFL) telah membuat keputusan untuk meminda tarikh saingan TM Piala Malaysia berikutan situasi semasa penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Undian TM Piala Malaysia: 1 November 2020

Pusingan Pertama (16 pasukan): 6, 7 dan 8 November 2020
Suku Akhir: 12 dan 13 November 2020
Separuh Akhir: 17 November 2020
Final: 22 November 2020

PERUBAHAN TARIKH SEPAK MULA PIALA MALAYSIA 2020

7 Oktober 2020 - Perubahan tarikh sepak mula bagi pertandingan TM Piala Malaysia 2020 peringkat pusingan pertama 16 pasukan.

Undian TM Piala Malaysia 2020 yang sebelum ini diadakan pada 12 Oktober 2020 ditunda pada 19 Oktober 2020 sebelum kejohanan paling tertua di Asia Tenggara itu membuka tirai pada 25 dan 26 Oktober 2020 berbanding jadual asal pada 16-18 Oktober 2020.
TARIKH SEPAK MULA LIGA MALAYSIA MUSIM 2020 DIPINDA

19 Ogos 2020 - Malaysian Football League (MFL) menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Ke-22 semalam telah membuat keputusan untuk meminda tarikh mula Liga Malaysia iaitu pada 28 Ogos 2020.

Disebabkan Liga Amatur Malaysia, Liga M3 2020 dibatalkan, maka tiada sebarang penyingkiran pasukan Liga Premier ke Liga Amatur musim 2021.

Pasukan tempat ke 11 dan tempat ke 12 CIMB Liga Super 2020 di turunkan ke Liga Premier 2021. Manakala dua pasukan teratas Liga Premier 2020 layak ke Liga Super 2021.

TM Piala Malaysia 2020
Pusingan 16 pasukan: 16 - 18 Oktober 2020
Suku akhir: 24 dan 25 Oktober 2020
Separuh akhir: 30 dan 31 Oktober 2020
Perlawanan Akhir: 7 November 2020

KELANTAN DIPOTONG TIGA MATA LIGA PREMIER 2020

3 Ogos 2020 - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini ingin mengumumkan bahawa Persatuan Bolasepak Kelantan (PB Kelantan) telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta-merta bagi saingan Liga Premier 2020 atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan oleh mereka bagi kes yang telah pun diputuskan oleh Jawatankuasa Status FAM sebelum ini.

SAINGAN LIGA MALAYSIA BERSAMBUNG 26 OGOS 2020

17 Jul 2020 - Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan Liga Malaysia 2020 kembali bersambung pada 26 Ogos 2020 selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19.

CIMB Liga Super/Liga Premier 2020
*MFL kekal dengan format pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier di mana saingan secara separuh liga sahaja. Menerusi format itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan.

*Perlawanan tertunda CIMB Liga Super: PJ City FC lwn Trengganu FC.
Serta perlawanan Liga Premier: UKM FC lwn Kelantan akan dimainkan pada 22 Ogos 2020.

*Shopee Piala FA 2020 dan Challenge Cup 2020
-Pertandingan Dibatalkan.

TM Piala Malaysia 2020
*TM Piala Malaysia (17-18 Oktober 2020 dan akan berakhir pada 7 November)

Format pertandingan TM Piala Malaysia akan dirombak di mana tiada saingan peringkat kumpulan dengan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.

11 pasukan terbaik CIMB Liga Super dan 5 pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan Reserve Team) yang layak beraksi dalam saingan TM Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah.

Perlawanan Persahabatan.
*Kesemua pasukan tidak dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan bermula 15 sehingga 28 Julai 2020.

Pasukan berstatus dari CIMB Liga Super dan Liga Premier hanya dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan pada 2 Ogos 2020 sebaik tamat tempoh bertenang bermula 29 Julai dan tamat pada 1 Ogos 2020.

Tempoh ini adalah bagi penilaian dan pemantauan simptom COVID-19 bagi memastikan tahap kesihatan semua pegawai dan pemain masih baik setelah 14 hari tempoh Latihan Berkontak Fizikal dibenarkan di mana latihan pasukan masih dibenarkan sepanjang tempoh ini.

Tiada ulasan: