Liga Malaysia 2025-2026
Bermula pada 8 Ogos 2025.
Pasukan (13)
1. Johor Darul Ta’zim FC (JDT)
2. Selangor FC
3. Penang FC
4. Kuching City FC
5. Sabah FC
6. Terengganu FC
7. Negeri Sembilan FC
8. Kelantan Darul Naim FC
9. Kuala Lumpur City FC
10. PDRM FC
11. DPMM FC (Brunei DS)
12. Melaka FC (dinaikkan dari AFL A1)
13. Imigresen FC (dinaikkan dari AFL A1)
* Sri Pahang FC yang turut mendapat Lesen Kebangsaan 2025-2026 membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam Liga Malaysia musim ini dengan mengemukakan surat pengesahan bertarikh 16 Jun 2025.
9 Jul 2025 - Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan pindaan peraturan pemain asing Liga Malaysia 2025-2026 yang menyaksikan kuota pemain asing di atas padang dikurangkan kepada 6 pemain berbanding 7 pemain seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
Keputusan itu dibuat hasil Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL ke-14 Bagi Penggal 2021-2025 selepas mengambil pertimbangan semula impak kepada Liga Malaysia dan juga perkembangan pemain tempatan.
MFL dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, berdasarkan pindaan terbaharu itu, kuota pemain asing di atas padang adalah seramai 6+3 (simpanan) dengan komposisi 4 Terbuka+1 Asia+1 Asean berbanding sebelum ini 7+2 (simpanan) dengan komposisi 4 Terbuka+1 Asia+2 Asean.
Keputusan untuk mengurangkan seorang pemain asing di atas padang dilihat dapat memberi sedikit keseimbangan di antara pemain tempatan dan pemain asing dalam kesebelasan utama pasukan pada hari perlawanan.
MFL percaya kehadiran pemain asing akan meningkatkan daya tarikan serta saingan dalam Liga Malaysia namun dalam masa yang sama perkembangan pemain tempatan juga menjadi agenda utama MFL untuk membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkasakan skuad Harimau Malaya.
Malah pandangan kelab-kelab juga diambil kira dalam keputusan pindaan ini di mana mereka berpendapat kehadiran lebih ramai pemain Asean tidak memberi banyak impak kepada prestasi pasukan.
Bagaimanapun bagi jumlah kuota pemain asing yang boleh didaftarkan dalam satu pasukan masih kekal kepada 15 pemain.
Namun setiap kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi kuota pemain asing ini sebaliknya ia bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan kelab masing-masing.
Ini kerana perbelanjaan kelab bakal dipantau menerusi pelaksanaan FFP dengan menguatkuasakan mekanisme gaji siling ‘salary cap’ sebanyak 80 peratus kepada setiap kelab musim ini.
Sementara itu, MFL juga turut mengumumkan kalendar Liga Malaysia 2025-2026 yang akan membuka tirai dengan Perlawanan Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim yang turut dikira sebagai aksi pertama Liga Super pada 8 Ogos 2025.
Saingan Liga Super 2025-2026 dijangka akan berakhir pada 16 Mei 2026 iaitu kira-kira selama 10 bulan berbanding proses transisi Liga Malaysia selama 14 bulan pada musim lalu.
Saingan Piala FA dijadual bermula pada 15 Ogos 2025 manakala perlawanan akhir akan berlangsung pada 14 Disember 2025.
Kejohanan berprestij Piala Malaysia pula akan membuka tirai pada 17 Januari 2026 dan kemuncak perebutan kejuaraan pada 23 Mei 2026.
Sementara saingan MFL Challenge Cup pula bakal bermula pada 6 Februari 2026 dengan dua aksi perlawanan akhir pada 4 April 2026 dan 18 April 2026.
MFL kali ini mengeluarkan kalendar penuh semusim berbanding musim lalu secara berperingkat bagaimanapun MFL ingin menjelaskan bahawa kemungkinan pindaan jadual akan berlaku memandangkan sesi undian Kejohanan AFC Champions League Elite (ACLE) dan AFC Champions League 2 (ACL2) oleh AFC bakal diadakan pada 15 Ogos 2025 melibatkan penyertaan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.
Malah dua kelab ini juga akan bertanding dalam Kejohanan Kelab Asean di mana jadual lengkap perlawanan kejohanan itu hanya dikeluarkan oleh AFF semalam sekali gus menyukarkan MFL untuk melengkapkan kalendar Liga Malaysia lebih awal untuk dikongsikan kepada kelab-kelab dan para penyokong.
Selain itu, perancangan penjadualan kalendar Liga Malaysia 2025-2026 juga turut mengambil kira Kalendar FIFA 2025 yang melibatkan Pasukan Kebangsaan (Kelayakan AFC Asian Cup Saudi Arabia 2027, CAFA Nations Cup 2025, AFC U23 Asian Cup Saudi Arabia 2026 (Kelayakan dan Pusingan Akhir), Pertandingan Sultan Haji Ahmad Shah (Perlawanan Sumbangsih), Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup , Sukan SEA Thailand 2025, pergerakan logistik dan operasi VAR, tempoh rehat dan perjalanan kelab serta Hari Pelepasan Am Persekutuan dan Negeri 2025-2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.
Venue perlawanan yang tidak dibenarkan bermain di bulan Ramadan akan ditetapkan kemudian serta jadual perlawanan terakhir Liga Super 2025-2026 akan dikemaskini tertakluk kepada keputusan dan kedudukan semasa Liga Super 2025-2026.
Kalendar Liga Malaysia
8 Ogos 2025: Piala Sumbangsih juara Liga Super JDT v naib juara Liga Super Selangor yang juga perlawanan pembuka tirai liga di Stadium Sultan Ibrahim.
Piala FA akan bermula pada pertengahan Ogos 2025
Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup pada Januari 2026.
Saingan Liga Malaysia 2025 dijangka berlangsung selama 10 bulan.
AFC akan mengadakan undian pertandingan ACL Elite dan ACL 2 melibatkan JDT dan Selangor FC pada 15 Ogos 2025.
Manakala MFL masih menunggu tarikh terperinci Kejohanan Kelab Asean daripada AFF yang turut melibatkan penyertaan JDT dan Selangor FC
Tiada ulasan:
Catat Ulasan